Tuesday, May 24, 2011

Bengkel Da'ie Muda 2011

Pada 23 April 2011 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daerah Besut telah menganjurkan program Bengkel Da'ie Muda dengan bertemakan "Da'ie Muda Pewaris Kemantapan Dakwah". Bengkel ini dilaksanakan di Bilik Perpustakaan Masjid Hadhari Jerteh, Besut Terengganu. Hampir 40 peserta telah mengikuti bengkel yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang.

Pelbagai pengisian telah dijalankan antaranya Slot Pemahaman Dakwah dikalangan Generasi Muda yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Hadhari Al-Fadhil Ustaz Mohd Zamzuri, Slot Karektor Da'ie dan Strategi Dakwah disampaikan oleh Saudara Faizul Afzan Exco Abim Kelantan serta Slot perkongsian dakwah yang telah dikongsikan oleh dua orang aktivis dakwah Mentawai, Indonesia. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YDP ABIM Kelantan iaitu al-Fadhil Ustaz Faisal Abdullah.

Rehlah Remaja Mawaddah 2011

Pada 22 Mac 2011 yang lalu seramai 25 orang remaja daerah Besut telah menyertai program "Rehlah Remaja Mawaddah" anjuran Abim daerah Besut. Para peserta terdiri daripada ahli Skuad Elit Abim daerah Besut dan remaja muslimah telah mengikuti beberapa aktiviti sepanjang program berlangsung. Program ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Jerteh.

Program ini dilangsungkan bertujuan untuk mendedahkan kepada para peserta Muslimah berkaitan ukhuwwah Islamiyyah dan ketahanan diri dalam menghadapi cabaran sosial yang begitu mencabar dikalangan remaja masakini. Program ini dirasmikan penutup oleh YDP Abim daerah Besut saudara Mohd Nor Zaiman b Che Mansor serta diiringi oleh TYDP Abim Besut saudara Ahmad Shakir b Sofian dan beberapa exco Abim dan Skuad Elit.

Saturday, August 28, 2010

Monday, May 31, 2010

Serangan Ke Atas Flotila: ABIM Kecam Tindakan Rejim Israel

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan yang menyertai misi ’Flotila Kebebasan ’ke Semenanjung Gaza hari ini.Tindakan kekerasan ala ketenteraan oleh rejim itu terhadap aktivis konvoi antarabangsa itu secara jelas mencabul prinsip keamanan dan kemanusiaan sejagat. Ternyata Israel berniat jahat kerana misi konvoi tersebut merupakan misi aman, tidak bersifat ketenteraan, dan bertujuaan semata-mata untuk menghantar bantuan ke bumi Gaza. Ia telahpun mendapat dokongan masyarakat antarabangsa yang telah turut menyertai konvoi tersebut.

Dengan siri serangan yang tidak berperikemanusiaan ini, Israel telah sekali lagi menunjukkan keangkuhannya menghalang bantuan disalurkan ke bumi Palestin dan terang-terangnya mencabar masyarakat antarabangsa untuk bertindak ke atasnya. Ia juga merupakan penerusan kepada pelbagai bentuk penindasan dan tekanan yang dilakukan oleh Israek terhadap rakyat Palestin selama ini.

ABIM dengan ini menggesa agar Wisma Putra mengambil sikap yang tegas dan menyatakan pendirian tersebut kepada Israel dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera. Sesungguhnya Malaysia dan rakyatnya mempunyai sebab yang sangat kukuh untuk mendesak Israel dan sekutunya menghentikan segera tindakan ketenteraannya memandangkan konvoi itu turut disertai oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada aktivis NGO, ahli Parlimen dan wartawan. Tambahan pula, bantuan yang ingin disalurkan melalui konvoi tersebut merupakan hasil kutipan dan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia bagi membantu rakyat Gaza yang amat memerlukan.

ABIM menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menterjemahkan keprihatinan dan kecaman keras mereka terhadap pencabulan oleh rejim Israel ini dengan menyokong sebarang usaha oleh pihak kerajaan dan pihak NGO-NGO untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada Israel dan sekutunya. Justeru ABIM menyeru agar rakyat Malaysia turut menyertai siri-siri bantahan aman yang dilakukan oleh pihak-pihak tersebut sebagai tanda sokongan padu rakyat Malaysia terhadap usaha-usaha keamanan dan mengecam keganasan. Akhir sekali, ABIM ingin memohon agar rakyat Malaysia berdoa dan mengadakan solat hajat di seluruh negara demi keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam konvoi tersebut.


Mohamad Raimi Ab Rahim

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sunday, May 23, 2010

Bantah Lesen Judi

BANTAHAN TERHADAP KELULUSAN LESEN PERTARUHAN
PIALA DUNIA 2010


Abim Daerah Besut menggesa pihak kerajaan untuk menarik semula lesen pertaruhan piala dunia 2010 yang mendapat reaksi negatif daripada lapisan masyarakat sekaligus menghapus amalan perosak di dalam masyarakat.

Abim Besut juga menyeru masyarakat untuk menjauhi segala amalan yang bertentangan dengan prinsip agama & bersama-sama membentuk masyarakat yang hasanah

Friday, January 01, 2010

Program Majlis Belia

Menghadiri Program
MAJLIS PERUNDINGAN BELIA
DAERAH BESUT

SIDANG 3 PENGGAL PERTAMA 2009

24 DISEMBER 2009
BILIK GERAKAN PEJABAT DAERAH BESUT

ANJURAN:
PEJABAT BELIA & SUKAN DAERAH BESUT & MAJLIS BELIA DAERAH BESUT

(8 orang perwakilan Abim daerah Besut menghadiri majlis tersebut)

Saturday, November 21, 2009

Kursus Kecemerlangan al-Quran (KKQ)

KEM KECEMERLANGAN AL-QURAN
(22 November - 11 Disember 2009)

Saturday, November 07, 2009

Isu Dr Asri

Abim daerah Besut tidak menyokong kandungan Memorandum membantah Pelantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM oleh PGSM dan beberapa NGO.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daerah Besut memandang serius terhadap isu memorandum yang di hantar oleh Persatuan Guaman Syari'e Malaysia (PGSM) dan beberapa NGO Islam bagi membantah pelantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM baru-baru ini. Abim Besut telah mengikuti perkembangan isu ini dan membuat pemerhatian beberapa perkara yang berbangkit daripada kedua-dua pihak.

Abim Besut juga telah membaca isu kandungan memorandum tersebut dengan membuat penilaian secara adil di atas beberapa perkara yang terkandung dalam kandungan tersebut. Oleh itu, Abim Besut telah membuat beberapa kesimpulan dan pendirian setelah diminta untuk membuat demikian oleh beberapa pihak.

Kesimpulannya adalah Abim Besut tidak membantah mana-mana pihak untuk menghantar sebarang memorandum termasuk memorandum yang dihantar oleh pihak yang tersebut di atas, tetapi tidak menyokong kandungan yang termaktub di dalam memorandum bantahan tersebut.
antara alasannya ialah:

1)Kandungan memorandum tersebut lebih bersifat serangan peribadi tanpa mengemukakan hujah dan bukti yang kukuh untuk menyokong perkara yang dibangkitkan.

2)Abim Besut bimbang sekiranya tuduhan yang dilemparkan itu tanpa dikemukakan bukti yang kukuh akan menyebabkan fitnah berlaku.

3)Pihak yang mengemukakan memorandum tersebut tidak berkata benar dengan mengatakan mereka mewakili majoriti umat Islam, walhal mereka tidak memberi bukti yang kukuh mengatakan mereka mewakili majoriti umat Islam di Malaysia.

4)Isu ini menunjukkan mereka yang terlibat menghantar memorandum tersebut tidak menerima kepelbagaian pandangan dan pendapat yang tidak bertentangan prinsip Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

5)Pihak mereka juga seolah-olah cuba menyekat perkembangan ilmu yang didasari oleh prinsip mencari yang haq dan menegakkan kebenaran berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang soheh.

Atas alasan berikut, kami berpendapat tidak wajar mana-mana pihak yang ingin membantah mana-mana individu tanpa membuat analisa dan penilitian yang betul dan meletakkan prejudis yang tidak baik seterusnya tidak mengemukan bukti yang kukuh. Abim Besut tidak menyokong mana-mana pihak dengan membuta tuli dalam isu ini, namun kami meletakkan prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran bagi meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat yang tidak melanggari prinsip Ahlu Sunnah wal Jamaah yang soheh.

"Membina & memimpin generasi hasanah"

Mohd Nor Zaiman b Che Mansor
(YDP Abim Daerah Besut)

Sunday, November 01, 2009

Kenyataan: Tindakan menahan Dr Asri tidak profesional

Tindakan pihak polis dan berkuasa agama Negeri Selangor menahan bekas Mufti Perlis adalah sikap tidak bertamadun dan profesional. Penahanan ini menyebabkan satu lagi polemik negatif berlaku dikalangan masyarakat yang cintakan ilmu. Penahanan yang dilakukan di atas dasar menyampaikan ilmu tanpa tauliah masih boleh dipertikaikan oleh masyarakat. Dr Asri merupakan lulusan Phd yang ditauliahkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan beliau juga merupakan bekas Mufti kerajaan Negeri Perlis.

Pihak berkuasa agama Negeri Selangor seharusnya mengambil sikap yang telus dengan membuat keputusan yang tepat sebelum tindakan itu diambil. Mereka perlu mengambil pendekatan yang rasional dengan berbincang dengan Dr Asri terlebih dahulu sekiranya prosedur pertauliahan itu perlu dipenuhi. Alasan yang mengatakan ajaran Dr Asri menyebarkan fahaman yang boleh menyebabkan perpecahan dikalangan masyarakat juga masih boleh dipertikaikan dan kekaburan. Ini kerana masing-masing membawa hujah dan pihak berkuasa agama juga harus menyediakan hujah yang boleh menguatkan alasan mereka tersebut.

Dalam isu ini, Abim daerah Besut tidak mengambil sikap menyokong mana-mana pihak tanpa ada kebenaran tetapi mengambil pendekatan yang adil demi menegakkan keadilan dan kebenaran agar fahaman agama yang sebenar dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dan yang benar itu tetap benar.

Wallua'lam
Mohd Nor Zaiman b Che Mansor
(YDP Abim daerah Besut)